Kerjaya lakonan Rosnah_Mohd_Noor

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya ialah Kisah Seorang Biduan (1979), Ribut Di Hujung Senja (1982), Esok Untuk Siapa (1982), Aku Yang Berhormat (1983), Di Ambang Kasih (1984), Hantu Siang (1986).

Sementara Sentuhan Kasih dan Jauh Dikenang, Dekat Disayang merupakan antara dua drama RTM arahan Allahyarham Roslee Jalil yang membuatkan Rosnah mendapat perhatian daripada para peminatnya.

Rosnah yang memang meminati bidang terbitan kemudiannya telah menubuhkan syarikat penerbitan sendiri RMN Production Sdn. Bhd., pada tahun 1988 apabila menyedari peluang menerbitkan drama untuk TV semakin terbuka. Racun Bulan Madu untuk slot Cerekarama TV3 arahan Datuk Aziz Sattar bukan sahaja menjadi drama pertama terbitan syarikatnya malah ia juga menjadi drama pertama lakonan Rosnah dan suaminya ketika itu, penyanyi Iwan.

"Setelah berkahwin pada Disember 1988, syarikat saya menerbitkan drama itu dan apabila menyedari Iwan minat berlakon, Aziz Sattar memberi ruang kepadanya berlakon. Itulah drama pertama dan terakhir kami berlakon berdua," cerita Rosnah sambil ketawa.